LENGGENG: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yakin tiga faktor utama mampu memberikan kelebihan kepada kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Menurut beliau, BN-PN berdepan laluan sukar kerana Negeri Sembilan merupakan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH), justeru jentera kedua-dua parti perlu bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, tiga faktor yang boleh menjadi pemangkin ialah kerjasama erat BN dan PN, manifesto yang akan dilancarkan, serta rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran PH di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Pemerhatian saya, kita kena kerja kuat sebab di Johor kita sudah melihat gelombang yang cukup utuh.
“Tetapi di Negeri Sembilan ini negeri di bawah PH. Walaupun kita pelengkap di sini, oleh kerana Negeri Sembilan ditadbir oleh PH, kita yang menjadi underdog,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program kempen, di sini, pada Jumaat.
Khairy bagaimanapun berkata, kedudukan sebagai ‘underdog’ tidak melemahkan semangat BN-PN, sebaliknya memberi motivasi kepada kedua-dua parti untuk bekerja lebih keras bagi meyakinkan pengundi.
Mengulas lanjut, Khairy berkata kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan bukan sekadar bertujuan memenangi pilihan raya, malah menjadi medan untuk menguji keikhlasan kedua-dua parti dalam membina persefahaman politik yang lebih kukuh.
“Ini bukan soal nak campur undi BN dengan PN. Tetapi ini adalah nak menguji keikhlasan kedua-dua parti BN dan PN bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan.
“Sama ada kerjasama ini boleh diteruskan untuk siri pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Beliau turut menyeru penyokong BN dan PN serta pengundi atas pagar supaya tidak memecahkan undi, sebaliknya memberikan sokongan kepada calon yang dipersetujui bagi meningkatkan peluang gabungan itu mencatat kemenangan dalam PRN Negeri Sembilan.