ALOR GAJAH: Rundingan agihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di enam negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi sudah hampir dimuktamadkan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkembangan persiapan bagi menghadapi pilihan raya itu juga akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam Ahad ini.

“Setakat ini persiapan kami adalah untuk menetukan kerusi-kerusi yang akan diagihkan dan di peringkat negeri, insya-Allah, ianya telah hampir selesai rundingan antara BN dan PH.

“Selepas ianya diselesaikan, semua keputusan negeri akan dibawa ke parti masing-masing sebelum perundingan diadakan di peringkat nasional untuk kita memuktamadkan pembahagian itu dan saya yakin kebanyakan negeri telah ada kesefahaman yang baik antara pemimpin parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Melaka di kediaman Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Masjid Tanah di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO berkata, Perdana Menteri akan mempengerusikan Mesyuarat Gabungan Parti-Parti Politik Kerajaan Perpaduan pada malam Ahad ini bagi mendengar persiapan PRN di enam negeri terlibat.

“Mesyuarat itu untuk melakukan penyelarasan kepada bukan sahaja aktiviti parti-parti dalam kerajaan perpaduan terapi yang lebih penting adalah bagi beliau (Anwar) mendengar persiapan untuk PRN buah negeri.

“Kami memandang penting pada PRN ini kerana ianya merupakan manifestasi terhadap pengiktirafan kepada Kerajaan Perpaduan memimpin negara keseluruhannnya,” ujarnya.

Tambah beliau, segala persiapan sedang dilakukan dengan rapi termasuk kerjasama antara jentera parti di peringkat negeri, Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan lokaliti.