SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yakin dapat mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, sasaran itu bersandarkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang diterajuinya selain barisan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang berfungsi dengan baik.

Malah Amirudin berkata, tidak mustahil untuk PH dan parti-parti yang bekerjasama dengannya mengulangi kejayaan besar yang dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Yang pertama adalah berdasarkan kepada prestasi kita. Kedua dengan kekukuhan Pakatan Harapan di Selangor yang saya rasa dalam tempoh lima tahun ini tidak ada sebarang isu-isu pertempuran dalaman yang sangat tajam.

"Yang ketiga sudah pasti kalau strategi betul dengan rakan-rakan gabungan, kita boleh mencipta kejayaan yang lebih besar dari two third majority malahan tidak mustahil mengulangi prestasi 2018 dengan kemenangan lebih 50 kerusi," katanya pada sidang media sempena lima tahun pentadbiran beliau sebegai Menteri Besar Selangor.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan, biarpun yakin dapat mengekalkan kemenangan di Selangor, PH tidak memandang rendah keupayaan Perikatan Nasional (PN).

Namun tegas beliau, kejayaan mengekalkan 16 kerusi Parlimen di Selangor ketika berdepan PN yang merupakan sebahagian kerajaan pusat pada PRU15 membuktikan PH masih kukuh di negeri itu.

Amirudin menjelaskan usaha-usaha penerangan kepada rakyat Selangor sentiasa dipertingkatkan sama ada secara konvensional atau menerusi media sosial.

"Rancangan Selangor Pertama adalah bukti kita ada planning, ada rancangan based on data dan maklumat yang kita kutip.

"Menangani krisis-krisis yang melanda dengan berhemah dan penuh proaktif menyebabkan Selangor kekal sebagai penyumbang ekonomi terbesar.

"Dasar kebajikan kita yang berkembang kepada 46 termasuk menyantuni riders dan juga membantu anak-anak istimewa Selangor serta program pendidikan yang komprehensif.

"Itu antara tiga perkara dalam success story, kalau kita listkan Azmin (Datuk Seri Azmin Ali) akan penat membacanya.

"Berkenaan dengan Datuk Seri Azmin itu strategi mereka tetapi alhamdulillah kita berdepan pada PRU15 kita berdepan dengan Azmin dan Perikatan Nasional sebagai federal goverment, dan saya percaya pengukuhan kita pada pilihan raya lepas, majoriti masih dimenangi oleh Pakatan Harapan," katanya lagi.

Pada Isnin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubar berkuat kuasa Jumaat, 23 Jun ini, bagi memberi laluan kepada PRN.

Pengisytiharan pembubaran berkenaan dibuat oleh setiausaha sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah.

Baginda turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DUN Selangor.

Selangor antara tiga negeri di bawah PH yang akan mengadakan PRN tahun ini selain Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang masing-masing mengumumkan pembubaran DUN pada 28 dan 30 Jun ini.