KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat kejadian seorang lelaki membaling batu sehingga menyebabkan dinding kaca Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut pecah pada awal pagi Sabtu.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, polis sedang mengesan suspek ketika ini.

"Kejadian berlaku jam 5.30 pagi, seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal membuat bising (selepas) terlihat pengawal... lelaki tersebut telah baling batu terkena cermin (dinding kaca) pintu Pejabat Agung Pas.

"Siasatan dijalankan Polis Kuala Lumpur di mana semakan CCTV akan dilakukan, juga bantuan CCTV daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Terdahulu, Pas menerusi ciapan di Twitter memaklumkan kejadian dinding kaca pecah berkenaan berlaku pada pagi tadi dan telah membuat laporan polis.

"Berita sedih di awal pagi sebelum penamaan calon bagi PRU Dewan Undangan Negeri, Pejabat Agung Pas di jalan Raja Laut.

"Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Laporan polis telah dibuat dan Pegawai Penyiasat sedang menjalankan tugas mereka," kata ciapan itu.