PRN Sabah: DAP sudah putuskan satu lagi kerusi, tapi tangguh umum demi jaga keharmonian

Anthony berkata walaupun DAP telah mencapai persetujuan untuk bertanding di kerusi tersebut, pengumuman rasmi belum dibuat kerana masih ada ruang untuk perbincangan lanjut. - Gambar fail
KOTA KINABALU: DAP menegaskan keputusan untuk menangguhkan pengumuman satu lagi kerusi pedalaman yang bakal ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dibuat bagi menjaga keharmonian dalam kalangan rakan-rakan gabungan.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata walaupun DAP telah mencapai persetujuan untuk bertanding di kerusi tersebut, pengumuman rasmi belum dibuat kerana masih ada ruang untuk perbincangan lanjut.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kerusi pedalaman tersebut, meskipun wujud desas-desas bahawa ia adalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong.
“Memang keputusan kita dan persetujuan awal yang telah dicapai ialah kita akan bertanding di kerusi tersebut.
“Namun begitu masih ada sedikit permintaan untuk perbincangan lanjut diadakan. Kita tak ada masalah untuk berbincang, namun memang kita menyasarkan kerusi tersebut.
“Memang daripada awal kita nyatakan bahawa objektif dan juga sasaran kita hanya lapan kerusi,” katanya dalam sidang media sebentar tadi selepas Pengumuman Calon PH-DAP dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata DAP memilih untuk bertanding hanya di kerusi-kerusi yang diyakini mampu dimenangi, berdasarkan rekod prestasi serta sokongan tempatan yang kukuh.
Menurut beliau, hasil tinjauan menunjukkan calon tersebut mempunyai potensi kemenangan yang tinggi, namun parti mahu memastikan tiada pertindihan dengan gabungan lain.
“Kita pernah ada wakil rakyat di kawasan tersebut dan kita meletakkan seorang calon tempatan yang dihormati,” ujarnya.
Bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual antara yang disebut-sebut sebagai calon kelapan dan didakwa akan diletakkan di Kemabong.
Kerusi Kemabong dimenangi oleh Datuk Rubin Balang atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, dan beliau kini merupakan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang merupakan salah satu parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam pada itu, Anthony memaklumkan DAP Sabah akan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) dalam PRN17.
Terdahulu, DAP Sabah mengumumkan akan bertanding di lapan kerusi, sekali gus menambah satu kerusi berbanding tujuh yang ditandingi pada PRN Sabah ke-16.
Bagaimanapun, hanya tujuh calon diumumkan secara rasmi, manakala seorang lagi akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

