MIRI: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak mengalu-alukan kedatangan parti yang bukan diasaskan di Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 tidak lama lagi. 

Menurutnya, perkara itu disandarkan Abang Johari melihat kepada perbezaan dari segi sensitiviti perkauman dan agama.

Tegasnya, masalah Sarawak hanya boleh ditangani oleh orang (pemimpin) Sarawak.

“Jika parti dari Semenanjung Malaysia pun nak ke sini, bawa budaya mereka, mati kita oii.. susah kita nanti. Isu nama ‘Timah’ pun susah juga. Jangan biarkan mereka datang.

“Jadi saya memberitahu pemimpin Persekutuan biarkan pilihan raya Sarawak terhad dalam kalangan rakyat Sarawak. Saya memberitahu mereka kerana masalah Sarawak hanya boleh ditangani oleh orang Sarawak,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Miri City Hall di sini pada Isnin.

Tegas Abang Jo lagi, hal ini kerana hanya anak Sarawak memahami isu dan sentimen yang ingin dibela rakyat Bumi Kenyalang lebih-lebih lagi apabila mempertahankan hak istimewa di dalam persekutuan.

“Ya, Pakatan Harapan ada cuba meminda perlembagaan tetapi itu hanya kosmetik hanya Artikel 1(2) sahaja, untuk frasa semula tetapi tiada kandungan. Saya kata kami mahu pindaan Artikel 160 mentakrif definisi Persekutuan..

“Mana boleh Perlembagaan Persekutuan bermaksud Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, kita bukan sebahagian dari Tanah Melayu.. jadi anda mesti mentakrifkan Perjanjian Malaysia dan lampiran kepadanya termasuk laporan IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan) barulah ia menyeluruh dan melindungi kepentingan Sarawak.

“Nasib baik mereka bersetuju dan sekarang dibawa ke parlimen berdasarkan tafsiran Persekutuan di bawah Perkara 160(2),” katanya lagi.

Terdahulu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mendedahkan mereka akan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk PRN-12.

Pun begitu, Parti Islam Semalaysia (PAS) Sarawak yang merupakan rakan GPS di peringkat Persekutuan memberitahu mereka akan bertanding di 11 kerusi.

Bagaimanapun, tiada sebarang rundingan antara GPS dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam pembahagian kerusi.