KANOWIT: Sebuah pekan Ngemah yang baharu akan didirikan sekiranya saya diberi peluang dicalonkan semula seterusnya menang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12), kata Alexander Vincent.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah berkata, perancangan itu memandangkan kedudukan pekan sedia ada kini tidak lagi strategik.

Ini kerana kedudukannya yang berhadapan dengan Sungai Rejang dan agak jauh dengan jalan raya baru yang siap dibina menghubungkan Sibu ke Kapit.

“Ini adalah hasrat saya, dalam masa lima tahun akan datang sebuah pekan baharu perlu dibangunkan sebagai pusat komersial atau lot kedai baharu.

“Dengan adanya pekan baharu ini, ia pasti akan mampu merancakkan sektor ekonomi penduduk setempat di masa akan datang,” katanya.

Selain itu ujarnya, banyak lagi agenda pembangunan yang dirancang dan dan sedang berjalan di Dun Ngemah dibawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Untuk itu, beliau yang juga  penyandang kerusi Dun itu untuk dua penggal, optimis  GPS akan mampu mengekalkan kemenangannya di kawasan tersebut.

“Banyak projek yang sudah dilaksanakan seperti pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan jalan raya, bekalan elektrik dan air 24 jam.

“Malah pembangunan belia juga dirancang sebaiknya dalam memastikan generasi pelapis ini tidak dipinggirkan.

“Untuk itu bersandarkan segala faktor ini dan perubahan dilakukan, GPS pasti boleh menang dalam PRN12 akan datang,” tambahnya.

Pada PRN11, Vincent dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang dalam pertandingan empat penjuru menewaskan calon Bebas (Joseph Jawa Kendawang), DAP (Richard Lias) dan PKR (Thomas Laja Besi).

Beliau yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memperoleh 2,888 undi.