KUCHING: "Kami mahu bentuk kerajaan negeri yang baharu, bukan untuk menjadi pembangkang yang kuat,".

Itu penegasan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh menjawab kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen baru-baru ini yang mengatakan Sarawak memerlukan pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kenapa Chong masih bercakap tentang mahu menjadi pembangkang yang kuat? Dengan hormatnya, beliau boleh terus menjadi pembangkang jika beliau mahu.

"Tetapi PSB lebih berminat untuk menjadi kerajaan yang kuat. Lagipun DAP sudah lebih 40 tahun menjadi pembangkang dan mungkin Cheng Jen berpuas hati untuk terus menjadi pembangkang, seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Soon Koh memberitahu, PSB tidak akan berpuas hati dengan hanya menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 ini kelak.

“Kita mungkin serupa tetapi kita tidak sama.  Kami berdua tidak bersetuju dengan cara GPS mentadbir Sarawak.

"DAP percaya sebagai parti pembangkang yang kuat, tetapi PSB percaya untuk menggantikan GPS sebagai kerajaan negeri,” tegasnya.

Justeru penyandang DUN Bawang Assan itu sekali gus memberi bayangan PSB akan meletakkan calon dan mencabar kesemua 82 kerusi DUN Sarawak.

“Ini adalah kedudukan kami dan kami akan melawan semua kerusi ini. Dengan izin tuhan dan dengan sokongan rakyat, kita akan bekerja keras untuk memenangi dan membentuk Kerajaan Negeri seterusnya,” katanya.