SIBU: Komuniti peniaga kecil yang menjual kuih-muih serta makanan lain di kawasan Kemuyang, Sibu mengharapkan agar sebuah tapak perniagaan kekal disediakan.

Beberapa peniaga yang ditemui Astro AWANI berkata, dengan adanya tapak perniagaan di lokasi yang strategik, ia mampu melancarkan lagi operasi perniagaan mereka.

Ini kerana ketika ini mereka terpaksa berniaga di kawasan komersial yang menempatkan kedai-kedai runcit dan sebagainya.

Menurut Nurul Izzati Bakar, mereka terpaksa mengambil inisiatif dengan berniaga menggunakan kanopi sendiri.

“Kami memilih berniaga di sini kerana lokasinya yang strategik dan sering menjadi tumpuan orang ramai.

“Namun ini bukan tapak khas yang disediakan untuk berniaga dan kami hanya menggunakan kanopi.

“Dan kalau hujan, kami kena angkat kanopi dan kadang-kadang kanopi rosak, kena beli baru lagi, jadi harap ada pertimbangan untuk membangunkan tapak baharu untuk kami,” katanya.

Bagi Hamsiah Sepiee pula, dia mengharapkan agar sebuah kawasan disediakan khusus untuk mereka berniaga dengan dilengkapi utiliti seperti air dan elektrik yang lengkap.

Tambahnya, ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada peniaga malah pengunjung.

“Saya harapkan dan memohon agar dapat disediakan tapak berniaga yang tetap.

“Kalau boleh mungkin disediakan sekali pondok yang besar dan lengkap dengan air dan bekalan elektrik kerana ini pasti menarik minat orang berniaga dan pelanggan akan lebih ramai,” katanya lagi.

Sementara itu  Ketua Kaum Kawasan Kemuyang, Abang Mohammad Abang Jes ketika ditemui juga berharap agar sebuah fasiliti dapat dibangunkan khusus untuk tujuan itu.

Ini kerana katanya, ketika musim hujan, rata-rata peniaga tidak boleh beroperasi kerana sekadar bergantung dengan penggunaan kanopi.

“Cuma masalah sekarang ini ialah tempat perniagaan yang tetap itu sahaja yang mereka mahukan.

“Ketika ini mereka terpaksa guna khemah (kanopi) jadi setiap kali pasang, tutup lagi khemah bawak balik pasang lagi dan kadang-kadang mereka memang tidak mampu berniaga setiap hari.

“Jadi satu harapan saya agar pertimbangan dapat dibuat bagi membolehkan hasrat dan isi hati mereka didengari,” ujarnya lagi.