KUALA LUMPUR: UMNO Bahagian Kota Raja mahu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, diangkat sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Menurut Timbalan Ketua Bahagiannya, Abdul Raof Mokhtar, Tengku Zafrul merupakan seorang yang berdedikasi dan berintergriti serta berpengalaman dalam pentadbiran serta membawa perubahan kepada rakyat.

"Saya yakin Tengku Zafrul akan berusaha gigih untuk memajukan kawasan DUN yang beliau tandingi dan mampu memperjuangkan kepentingan rakyat.

"Hasrat ini selari dengan semangat kerjasama kerajaan perpaduan yang dibentuk di peringkat pusat. Ketika ini di Parlimen Kota Raja, wakil-wakil rakyatnya datang daripada PKR, Amanah dan DAP.

"Adalah wajar sekiranya kerusi DUN Sungai Kandis hampir 70 peratus terdiri daripada pengundi Melayu diwakili UMNO,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.

Jelas Abdul Raof, hasrat UMNO Bahagian Kota Raja itu perlu dipertimbangkan oleh kepimpinan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) demi keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas PRN kali ini.

"UMNO Bahagian Kota Raja menyokong penuh Tengku Zafrul sebagai calon DUN Sungai Kandis agar dapat mewujudkan perubahan yang diimpikan bersama.

"Bersama Tengku Zafrul, kita mampu mencapai masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua," ujarnya lagi.

Sebelum ini, nama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu disebut-sebut sebagai calon dalam PRN Selangor kali ini.

Kerusi DUN Sungai Kandis disandang oleh wakil rakyatnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PH-PKR).