KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan membawa hasrat Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan untuk memperluas penguasaan kerusi Parlimen termasuk Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) ke peringkat sekretariat bagi perbincangan lanjut.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu akan melalui proses rasmi termasuk perbincangan dalam Jawatankuasa Perundingan Kerusi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Advertisement
"Perkara ini akan dibawa ke peringkat sekretariat dan kita ada jawatankuasa perundingan kerusi.
"Itu adalah tertibnya. Buat masa ini, ia masih di peringkat awal untuk dibincangkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Mekar Didik dan Program Kaunter Lorong di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, rundingan berhubung pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PH hanya akan dimulakan apabila tiba masa sesuai dan tidak melihat perkara itu sebagai isu besar ketika ini.
"Bila sampai masanya nanti, kita akan mulakan proses perundingan. Setakat ini, ia tidak menjadi isu," katanya.
Sebelum ini, Amanah Wilayah Persekutuan menyatakan hasrat untuk memperluas penguasaan kerusi Parlimen pada PRU16 akan datang, termasuk menyasarkan Putrajaya sebagai antara kawasan utama.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad, berkata pihaknya turut ‘mengintai’ dua lagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan iaitu Labuan dan Titiwangsa.