GUA MUSANG: Muhamad Zaki berkata, hampir 1,400 anggota tambahan untuk membantu proses perjalanan PRU15 di Kelantan telah tiba semalam.

Jumlah kenderaan yang memasuki Kelantan meningkat sekali gus menyebabkan kesesakan hari ini, susulan kepulangan perantau untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Tinjauan Astro AWANI di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Krai, mendapati trafik sesak sejak pagi dan lebih banyak kenderaan dijangka akan memasuki negeri ini malam ini sehingga hari pengundian pada Sabtu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun memaklumkan berlaku pertambahan kenderaan sebanyak lima peratus di laluan pintu masuk ke negeri ini termasuk Gua Musang, Paser Puteh dan Jeli.

"Peningkatan kenderaan di laluan masuk di Gua Musang bermula petang tadi. Kesesakan itu berada pada skala dua dan kadang kala kepada skala tiga.

"Besok hari kelepasan am, kita jangka akan bertambah lagi, mungkin melebihi 10 peratus jumlah kenderaan bermula pada sebelah pagi," katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata, seramai 20 pegawai serta 150 anggota trafik akan bertugas mengawal lalu lintas termasuk di jalan jalan bandaran.

Muhamad Zaki berkata, hampir 1,400 anggota tambahan untuk membantu proses perjalanan PRU15 di Kelantan telah tiba semalam.

Sementara itu, menurut anak Kelantan yang ditemui ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, mereka mengambil cuti awal sehari hari ini, bagi mengelak kesesakan lalu lintas yang dijangka lebih teruk esok.

Penjawat awam, Adila Ahmad Awang, berkata: "Saya merancang awal. Patut esok (cuti am) sebab kerajaan umum cuti. Saya ambil cuti awal sehari untuk mengelak daripada kesesakan.

"Harap-harap dalam satu dua jam lagi sampailah kampung di Rantau Panjang. Saya tak balik ikut Kuala Krai, saya balik ke Dabong... Gua Musang-Jeli-Dabong seterusnya ke Rantau Panjang," katanya ditemui petang tadi.

Seorang lagi penjawat awam, Hafizee A. Hamid, berkata: "Tadi ada dua tempat yang sesak, satu di bandar Raub, lepas tu dekat Dong. Dekat Sungai Pasu ada air naik... banjir, jadi sesak sikit.

"Perjalanan saya lambat dua jam disebab kesesakan. Sejam dekat Raub, sejam di sini (Gua Musang). Biasanya saya sampai Gua Musang tiga jam (dari Kuala Lumpur). Sekarang lima jam sampai sini. Maknanya siapa nak balik nanti berhati-hatilah merancang masa perjalanan," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 'Deklarasi Profesor Melayu G70 sokong Anwar' tidak wakili MPN - Ismail Sabri

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Seorang usahawan, Firdaus Mamat, berkata: "Dari Kuala Lumpur sesak sikit dekat Raub, dekat Kampung Gali Tengah sebab ada banjir. Lepas tu okey dah. Perjalanan lancar. Sebab saya kerja sendiri dan orang rumah dapat cuti, nak balik awallah," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hari pelepasan am pada Jumaat dan Sabtu ini bagi memudahkan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada PRU15.

Susulan itu, orang ramai dijangka bergerak lebih awal untuk pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.