ARAU: Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Arau akan dibuka semula dalam masa terdekat setelah ditutup pada 1 Nov lepas, setelah penyandang kerusi Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim mengarahkan supaya ia ditutup apabila namanya tidak tercalon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon BN bagi Parlimen Arau Datuk Rozabil Abd Rahman berkata ramai penyokong di peringkat jentera akar umbi mahu agar bilik gerakan tersebut dibuka semula.

"Berdasarkan sambutan yang diterima semasa sesi bertemu pengundi dalam masa dua tiga hari ini, ramai yang meminta agar saya membuka semula bilik gerakan BN di Arau ini dan hanya sebilangan kecil yang menolak," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Rozabil berkata beliau yakin ramai yang masih menyokong dan setia kepada parti walaupun mereka keliru pada peringkat awal setelah Shahidan mengumumkan untuk terus kekal bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Arau, atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Calon Pakatan Harapan Fathin Amelina Fazlie turut mengumumkan bertanding bagi merebut kerusi itu.

-- BERNAMA