KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Rabu ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Badan Perhubungan BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Malah, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, terdapat sekurang-kurangnya tiga calon kerusi parlimen yang belum dimuktamadkan pihaknya.

"Ada beberapa mungkin dua atau tiga kerusi yang belum kita muktamadkan calonnya. Tetapi kita akan mengumumkan calon-calon BN pada Rabu ini bersama dengan GRS," katanya ketika dihubungi Astro AWANI dan memberitahu akan mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan.

Selain itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dalam pesanan ringkas kepada Astro AWANI memaklumkan gabungan itu akan mengumumkan calon pada 2 November ini.

"Mungkin Rabu," katanya ringkas.

Difahamkan, dalam rundingan antara kedua-dua entiti itu, GRS akan meletakkan calon di 12 kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN Bugaya.

Manakala BN pula akan meletakkan 13 calon di kerusi Parlimen bagi melengkapkan 25 kerusi Parlimen di Sabah.

Sebelum ini, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan tiada pertembungan calon antara gabungan itu dan BN.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melancarkan program Gelombang Biru di Kimanis Sabah menyeru agar BN dan GRS mengukuhkan solidariti bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ismail Sabri menegaskan, tiada guna untuk bertanding dengan jumlah kerusi yang banyak dan bertembung sesama sendiri kerana pada akhirnya ia membawa kepada kekalahan.