PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan ramai muka baharu dipertaruhkan parti-parti politik selain yang memilih untuk bertanding atas tiket Bebas.

Turut mencuri tumpuan kali ini adalah beberapa calon wanita, muda, berketerampilan dan memiliki persona tersendiri.

Kami senaraikan beberapa calon wanita yang bakal berentap menentukan nasib pada pesta demokrasi terbesar negara.

Dr Nurul Ashikin Mabahwi

Nurul Ashikin Mabahwi
(Pejuang – Parlimen Ampang)


Memasuki pentas politik dengan pesona tersendiri, Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Parti Pejuang Tanah Air ini merupakan 'pakar banjir'.

Berkelulusan Doktor Falsafahdari Shibaura Institute of Technology, Jepun, beliau banyak melakukan kajian melibatkan perancangan bandar, pengurusan banjir dan bencana alam.

Wanita berusia 33 tahu kelahiran Kg. Berembang, Ampang ini dijangka bersaing sengit dengan 'ibu' Parti Bangsa Malaysia, Datuk Zuraida Kamaruddin di Parlimen Ampang.

Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin @ Cleo

Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin @ Cleopatra
(Bebas – Parlimen Batu)


Nur Fathiah Syazwana, 28 atau mesra disapa sebagai Cleo mencuri tumpuan lensa kamera dan orang ramai yang hadir pada penamaan calon PRU-15 tempoh hari.

Pengasas Pertubuhan Tindakan Perikatan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang juga ibu kepada dua anak itu tampil berani bersaing bersama sembilan lagi calon lain di kerusi Parlimen Batu dengan tekad memastikan setiap keputusan yang dibuatnya tiada campur tangan mana-mana pihak.

Dalam beberapa temu bual bersama media, Pengarah Syarikat Raffles Force (Malaysia) Sdn Bhd itu menganggap dakwaan sesetengah pihak bahawa kecantikan yang dimilikinya sebagai modal kempen pilihan raya merupakan satu pandangan sempit.

Young Syefura Othman

Young Syefura Othman
(PH – Parlimen Bentong)


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari ini diberi mandat besar untuk mempertahankan kerusi Parlimen yang dirampas DAP pada PRU yang lalu.

Young Syefura atau dipanggil Rara bakal menerima tentangan sengit daripada empat lagi calon lain termasuk bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai (BN) selain penyandang, Wong Tack yang kini bertanding atas tiket Bebas.

Antara isu penting diketengahkan beliau adalah bencana alam, lantaran Bentong antara kawasan yang paling teruk dibadai banjir pada awal tahun ini.

Jo-anna Sue Henley Rampas

BACA SEMUA BERHUBUNG PILIHAN RAYA UMUM KE-14 DI SINI

Jo-anna Sue Henley Rampas
(Warisan – Parlimen Tuaran)


Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah ini pernah bertanding di DUN Kiulu pada PRU14 namun tewas ditangan Datuk Joniston Bangkuai.

Pemenang Unduk Ngadau 2007 ini merupakan graduan ijazah sarjana dalam bidang undang-undang dan berkelulusan Master of Law and Corporate Social Responsibility dari University of West England dan pernah memegang jawatan sebagai setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Sabah.

Jo-anna, 33 yang kini bakal berdepan Datuk Seri Madius Tangau dan Joniston pada PRU kali ini sering kali menegaskan bahawa penglibatan beliau dalam politik bukan untuk meraih populariti.

Felicia Wong

Felicia Wong
(BN – Parlimen Seremban)


Graduan Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya ini merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA.

Mantan pengetua sekolah swasta di Seremban ini bertekad menceburi bidang politik demi membantu negara kembali ke arah kestabilan dan kemakmuran.

Menyifatkan pendidikan sebagai tunjang kemajuan masyarakat, beliau komited memastikan setiap lapisan masyarakat akan mendapat akses pendidikan yang sewajarnya.

Nurul Fadzilah Kamaluddin

Nurul Fadzilah Kamaluddin
(Perikatan Nasional – Parlimen Setiawangsa)

Sebelum tekad terjun ke dunia politik, Nurul Fadzilah pernah bertugas sebagai pengacara dan menjadi aktivis masyarakat.

Beliau kini menggalas jawatan sebagai Ketua Srikandi Muda Bersatu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia.

Nurul Fadzillah yang tampil dengan perwatakan anggun bersama slogan Setia Bersama Setiawangsa akan berdepan antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad (Pakatan Harapan) sebagai pencabarnya.

Fathin Amelina Fazlie

Fathin Amelina Fazlie
(PH – Parlimen Arau)


Graduan Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya ini akui gentar berdepan 'orang besar' Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Fathin Amelina, 28 berkata percubaan kali pertama dalam arena politik tidak menghalangnya untuk terus berusaha membawa isu taraf hidup, kebajikan dan pendidikan.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR Cabang Padang Besar mempunyai Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perancangan dan Pembangunan dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pecahan calon wanita Parlimen mengikut parti politik