KOTA KINABALU: DAP Sabah meletakkan empat calon di kerusi baharu sekali gus mengekalan tiga calon di kerusi tradisi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, empat buah kerusi baharu itu ialah Parlimen Papar; Batu Sapi; Lahad Datu dan Keningau.

Manakala tiga kerusi tradisi terdiri daripada Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.

"Ia juga satu sejarah apabila DAP Sabah menamakan barisan calon yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Lebih dari separuh barisan calon merupakan bumiputera Sabah, lebih separuh calon wanita dan muda tetapi berpengalaman", ujar beliau.

Penyandang kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin akan bertanding semula pada PRU15 bagi mengekalkan penguasaan DAP di parlimen tersebut.

Turut sama, penyandang kerusi Parlimen Tenom, dan Sandakan, Noorita Sual dan Vivian Wong Shir Yee akan kembali bertanding atas tiket DAP pada PRU15.

Salah satu daripada empat kerusi yang akan ditandingi DAP bakal menyaksikan pertembungan di antara calon muda Grelydia Gillod, berusia 32 tahun mewakili DAP, dijangka berhadapan dengan Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Keningau dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Bagi Parlimen Batu Sapi, DAP mempertaruhkn Liau Fui Fui, 39 tahun yang dijangka bakal berhadapan dengan BN, dan calon baru daripada Warisan sebagai pesaing terdekat setelah kematian penyandang terdahulu daripada Warisan, Datuk Liew Vui Keong yang meninggal dunia pada Oktober 2020.

Dua lagi kerusi Parlimen, Papar dan Lahad Datu bakal menyaksikan Henry Shim Chee On, 39 dan Oscar Sia Yu Hock, 34 tahun akan mewakili DAP pada PRU15.