KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Dr Kelvin Yii Lee Wuen  mempersoal usaha Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mengusahakan subsidi kepada Anak Sarawak untuk pulang mengundi.

Sebaliknya Ahli Parlimen Bandar Kuching itu mahu satu pembaharuan pilihan raya untuk membenarkan pengundian pos untuk rakyat Malaysia Timur.

Kelvin menerusi satu kenyataan pada Ahad berkata GPS sepatutnya menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan untuk memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan semua pembaharuan yang diperlukan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Ia termasuk pengundian tidak hadir bagi rakyat Sabah dan Sarawak yang tinggal di kawasan luar dua wilayah itu.

"Apabila SPR bermesyuarat pada 20 Oktober, selain mengumumkan tarikh pilihan raya itu sendiri, SPR harus mengumumkan pembaharuan untuk membolehkan rakyat Sarawak dan Sabah mengundi tanpa perlu membelanjakan ribuan wang semata-mata untuk mengembara sepanjang jalan untuk melaksanakan hak asasi mereka," jelasnya.

Tambah Kelvin, pembaharuan sebegini katanya penting untuk menggalakkan lebih ramai penyertaan pengundi, terutamanya untuk pilihan raya yang diadakan di Sabah dan Sarawak.

Dianggarkan sehingga 20 peratus pengundi Sabah dan Sarawak yang layak tinggal dan bekerja di Semenanjung Malaysia.

Terdahulu pada  Ahad, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa sesi Townhall Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 di ibu negara memaklumkan Kerajaan Sarawak akan memikirkan penyelesaian yang paling murah dan sesuai untuk membolehkan anak-anak Sarawak di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di luar negeri itu pulang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

BACA: PRU15: Kerajaan negeri akan usaha bantu anak Sarawak pulang mengundi - Abang Jo

Pengerusi GPS itu turut menegaskan adalah menjadi komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan dan hak belia Sarawak dipenuhi terutama dalam proses pilihan raya.