MIRI: Satu-satunya kawasan yang ditawan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sarawak bakal melihat pertembungan tiga penjuru di Parlimen Miri dengan dua muka baharu dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Calon PH-PKR Chiew Choon Man yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak mempunyai tanggungjawab besar untuk mengekalkan komposisi kerusi Pakatan Harapan (PH) setelah Dr Michael Teo Yu Keng memegang kerusi terbabit selama dua penggal sejak 2013.

Sementara itu calon GPS-SUPP Jeffrey Phang dengan sokongan gabungan parti terbesar di Sarawak ini akan merebut untuk mengembalikan kerusi tradisi itu kepada SUPP.

Kedua-dua calon baharu itu juga akan ditentang veteran politik Datuk Lawrence Lai yang juga mempunyai pengalaman sebagai datuk bandar akan mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Pada pukul 10.00 pagi Pegawai Pengurus (RO) Abdul Rahman Taupek selaku Pengurus Pilihan Raya Parlimen Miri mengesahkan penerimaan ketiga-tiga borang pencalonan setelah berpuas hati dengan semakan dan tanpa sebarang bantahan.

Untuk rekod PRU14 pada tahun 2018, Michael Teo berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 13,663 undi mengalahkan calon BN Datuk Sebastian Ting.

PRU15 ini menyaksikan Parlimen Miri memiliki 143,229 pengundi dengan majoriti kumpulan pengundi belia berumur 21 hingga 29 tahun seramai 32,313 diikuti kumpulan 30 hingga 39 tahun iaitu 31,154 orang sekali gus membentuk lebih 44 peratus pemilih di bandar minyak dan gas ini.