KUALA LUMPUR: Debaran kian hampir ke kemuncaknya, pecutan sudah memasuki gear tertinggi, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tinggal tiga hari sahaja lagi.

Agenda AWANI malam ini akan menampilkan tiga tokoh utama peneraju parti yang akan bertanding dalam pilihan raya ‘terbesar’ era ini, untuk memperjelas visi dan misi masing-masing.

Membuka tirai pada jam 8.30 malam adalah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan mempertahankan kerusi P.004 Langkawi untuk penggal kedua, namun kali ini di bawah bendera berbeza.

Di usia 97 tahun, negarawan ini tidak kenal erti rehat. Ada perjuangan yang belum selesai, apakah mungkin misinya yang masih belum terlaksana yang menggerakkan beliau untuk terus bekerja hingga di lanjut usia, supaya difahami rakyat jelata untuk dapat bersamanya sekali lagi kali ini.

Seterusnya akan menyusul pada pukul 9 malam ialah Naib Presiden Pas dan calon Perikatan Nasional (PN) P.058 Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.

Hasrat murni Pas untuk membawa UMNO dengan Bersatu berjabat tangan nampak seakan bertemu jalan buntu apabila ego antara dua parti itu menjadi dinding penghalang.

Bagaimana Pas terus menyusun langkah untuk memastikan misi penyatuan ummah itu akan akhirnya berlaku?

Agenda AWANI kemudian akan disusuli program Bual Bicara Khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 9.35 malam.

Menjadi Naib Presiden UMNO pertama sebagai Perdana Menteri sejak Ogos tahun lalu, Ismail Sabri selaku calon Perdana Menteri dari Barisan Nasional (BN) dijangka tidak berdepan sebarang masalah mempertahankan kerusi P.090 Bera yang didudukinya sejak 2004.

Beliau menggalas sama tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN dalam rencana parti terbesar negara itu menguasai semula Putrajaya selepas tersungkur pada PRU14.

Timbalan Presiden PKR dan calon Pakatan Harapan (PH) P.100 Pandan, Rafizi Ramli pula akan menutup tirai pentas Agenda AWANI hari ini pada pukul 10.30 malam.

Kembali mewarnai arena politik tanah air pada Mac tempoh hari selepas agak lama ‘berehat’, Rafizi membawa tenaga pendorong baharu yang lebih kuat kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk merampas semula hak mereka di Putrajaya, yang dicabuli hanya selepas 22 bulan membentuk kerajaan, dalam usaha pakatan itu mereformasi Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih progresif.

Seribu kata berjela bicara, nada siapa yang mampu memikat jiwa pengundi Malaysia?

Namun, di akhirnya, mampukah mereka semua bekerja bersama untuk membawa Malaysia menempuh cabaran mendatang dan mengangkat namanya kembali ke persada dunia - walau siapapun yang memegang kuasa?

Tetapkan perhatian anda bermula 8.30 malam ini (Selasa, 15 November), hanya di Astro AWANI, saluran pilihan raya anda.