KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah dinamakan sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA) untuk Parlimen Titiwangsa, sekali gus menyaksikan kemungkinan persaingan tiga penjuru di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu mengumumkan lapan calon pertama gabungan tersebut berkata, Timbalan Pengerusi GTA yang juga anaknya, Datuk Seri Mukhriz pula akan mempertahankan kerusi Jerlun.

Selain itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, biarpun rundingan dengan Perikatan Nasional (PN) masih berjalan, lapan kerusi awal yang diumumkan itu harap tidak akan bertukar tangan kepada individu lain.

“Jadi lapan (calon PRU15) ini sudah ditetapkan. Yang lain-lain itu kita akan umumkan setelah kita putuskan berkenaan kerjasama kita dengan Perikatan Nasional.

“Kita berpendapat bahawa kerjasama (GTA-PN) ini menghasilkan jumlah calon yang agak ramai dan kita tak ada masalah nak ada calon untuk semua 120 yang telah kita janjikan, mungkin juga lebih daripada 120. Itulah keadaan sekarang,” katanya lagi.

Selain Khairuddin dan Mukhriz, Dr Mahathir berkata, enam calon awal yang lain ialah Datuk Amiruddin Hamzah akan bertanding di Kubang Pasu, Datin Che Asmah Ibrahim (Sepang), Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah), Harumaini Omar (Hulu Selangor), dan Mohd Shaid Rosli (Kuala Selangor) selain beliau sendiri di Langkawi.

Setakat ini Dr Mahathir berkata, rundingan bersama PN masih berjalan dan mereka memberikan masa dua hari dari sekarang untuk menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kesemua calon termasuk dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinannya adalah calon GTA, tetapi masih menggunakan logo Pejuang kerana pendaftaran GTA tidak diluluskan.