KUALA LUMPUR : Polis tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Parti Ikatan Demokratik (MUDA) yang berhasrat untuk mengadakan perhimpunan aman di dataran Sogo pada Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, setakat ini tiada sebarang notis pemakluman yang mengikut peruntukan undang-undang diterima pihaknya.

“Polis telah menasihatkan penganjur supaya tidak mengadakan himpunan ini. Jika diadakan juga pihak polis akan mengambil tindakan tegas seperti mana yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Noor Dellhan dalam masa sama turut menasihatkan agar orang awam juga tidak turut serta dalam perhimpunan terbabit.

MUDA pada Rabu menyatakan hasrat untuk mengadakan perhimpunan aman bagi membantah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk diadakan sewaktu musim banjir tahun ini.

Langkah itu juga dibuat susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kesediaan jenteranya untuk meredah banjir sewaktu berkempen.

Ahli Jawatan kuasa Eksekutif Pusat Muda, Nurainie Haziqah Shafii berpendapat, kenyataan itu sebagai satu keputusan yang tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya Nurainie mendesak Perdana Mneteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tampil dengan pelan mitigasi banjir nasional yang merangkumi penempatan aset dan kakitangan kerajaan..

Sebelum ini, Ismail Sabri memaklumkan akan berbincang mengenai tarikh PRU dengan lima pemimpin tertinggi UMNO dalam masa terdekat termasuk aspek cuaca.