TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yakin kerjasama di antara gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) Sabah akan berterusan pasca PRU15.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, ia merupakan mandat dan kepercayaan daripada rakyat yang perlu dijaga melalui kerjasama erat antara kedua-dua gabungan tersebut dalam mentadbir kerajaan negeri.

"Kita (GRS) bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) termasuklah UMNO. Ini kita lakukan sebagai kesinambungan mandat yang rakyat beri kepada kita dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu.

"Jadi, kita perlu ada kerjasama yang erat untuk memastikan apa yang diberi kepercayaan oleh rakyat itu, mandat itu, kita teruskan", ujar Hajiji ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan bangunan baharu di Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT) pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri Sabah bersetuju memperuntukkan antara RM7 juta hingga RM54 juta pada tahun hadapan bagi membantu memperkasakan pendidikan badan keagaamaan bukan Islam, sekolah Cina, serta sekolah mubaligh di negeri itu.

RM150,000 diperuntukkan kepada SJK(C) Chung Hwa dan RM100,000 kepada Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT) yang diumumkan sendiri oleh Hajiji bagi tujuan pembangunan program akademik di kedua-dua sekolah terbabit.

Jelas Hajiji ia bertujuan bagi memacu pembangunan dan kemajuan negeri itu selain memperlihatkan penekanan kerajaan negeri terhadap aspek pendidikan.