MELAKA: Penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dicalonkan semula sebagai wakil Pakatan Harapan di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Beliau berkata Khoo dicalonkan atas rekod cemerlangnya berkhidmat di Parlimen berkenaan pada penggal yang lepas serta mempunyai rekod kehadiran dan mengambil bahagian yang baik di Parlimen.

"Beliau amat tertib dan telus dalam menguruskan peruntukan kawasan dan tak pilih kasih dalam membantu rakyat di kawasan diwakilinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jentera Pilihan Raya PH Parlimen Kota Melaka di sini pada Khamis.


Pada PRU14, Khoo menang dengan majoriti 49,174 undi di kerusi berkenaan selepas menewaskan Eric Choo Wei Sern (Barisan Nasional) dan Goh Leong San (Bebas) di kerusi berkenaan.

Mengulas mengenai penyandang kerusi Bentong Wong Tack yang berhasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas di kerusi berkenaan selepas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari Young Syefura Othman dicalonkan untuk kerusi itu, Loke berkata keahlian Wong sebagai ahli DAP akan terlucut secara automatik.

"Masuk sahaja hari penamaan calon, jika beliau bertanding sebagai calon Bebas maka keahliannya akan terlucut serta-merta...tak perlu surat daripada parti kerana ini perkara terbuka. Saya harap beliau tidak melakukannya," katanya.

-- BERNAMA