RANAU: Datuk Jonathan Yasin memulangkan paku buah keras kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyifatkan kerusi Parlimen Ranau sebagai tempat pengkhianat.

Jonathan, yang merupakan penyandang kerusi berkenaan berkata, Anwar yang selayaknya digelar pengkhianat, dan perlu dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dakwa calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Parlimen Ranau itu lagi, Presiden PKR itu juga yang menyebabkan PH berpecah belah pada Februari 2020.

“Kalau bukan kerana beliau dan konco-konco yang mahu menyingkirkan Tun Dr Mahathir pada masa itu, tidak mungkin ada perpecahan dalam PH.

“Lupakah mereka bahawa ada janji dan surat hitam putih yang kami tandatangani, mengatakan tidak ada tempoh masa perjanjian peralihan kuasa antara Dr Mahathir dengan Anwar.

“… Dan sebab itu bila dikatakan pengkhianat, mereka yang menyingkirkan Tun (Mahathir) adalah pengkhianat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Ahad.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 146,737 anggota tentera, pasangan terlibat undi awal


Terdahulu, Anwar berkata bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan membantu kempen PH di Ranau
, bagi memastikan kemenangan calon mereka, Taufik Dahlan kerana Ranau tempat pengkhianat.

Pada PRU14, Jonathan menang di kerusi Parlimen Ranau atas tiket PKR, dengan majoriti 1,076.

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Mengulas lanjut, Jonathan berkata perpecahan yang didakwa berlaku dalam PH, akan memberi kelebihan kepada GRS.

Dalam pada itu, Jonathan menambah tindakan Anifah yang mahu membantu calon PH di kawasan tersebut juga menunjukkan gabungan itu lemah di Ranau.

Ujarnya, penglibatan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu tidak akan memberi kesan besar terhadap sokongan kepada GRS.

“Selama ini, kita dapati bahawa kekuatan Anifah di kawasan Ranau pun tidak lah begitu besar.

“Sudah terbukti di masa lalu bahawa ada pun sokongan (orang luar) tidak begitu mengugat keadaan GRS di Ranau,” kata Jonathan.

Pada PRU15, kerusi Parlimen Ranau menyaksikan saingan lima penjuru.

Selain Jonathan (GRS) dan Taufik (PH), turut memberi saingan di kerusi berkenaan ialah calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Azizul Julirin, Markos Siton (Warisan), serta Datuk Ewon Ebin yang bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).