IPOH: MCA akan menampilkan ramai calon muda yang berusia dalam lingkungan 30-an untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata kebanyakan mereka akan terdiri daripada golongan profesional lulusan pelbagai universiti, termasuk yang berkelulusan doktor falsafah (PhD).

Beliau berkata, mereka merupakan pasukan orang muda yang akan memberi nafas baharu kepada parti dan sebagai satu pilihan terbaik kepada rakyat.

"Kita akan menampilkan lebih ramai muka-muka baharu dan juga mereka yang dianggap sebagai profesional dan saya nampak bakat itu di Perak ni agak ketara sekali.

"Kita lihat ramai merupakan aktivis parti berusia 30 tahun, lebih 30 tahun... dan mereka ini sebenarnya ada kebolehan, ada ilmu pengetahuan dan kalau dibimbing oleh veteran maka mereka dapat bergerak sebagai seorang aktivitis politik yang lebih mantap," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Perak di Dewan Bulan Sabit Merah di Ipoh pada Ahad.

Menurutnya, setakat ini Barisan Nasional (BN) belum memuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh parti komponen UMNO, MCA dan MIC.

Beliau membayangkan kemungkinan MCA akan bertanding di majoriti kerusi yang ditinggalkan oleh Gerakan, berdasarkan kepada demografi kaum.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu di antara parti-parti komponen BN.