MIRI: Satu-satunya penyandang Ahli Parlimen PKR di Sarawak, Michael Teo Yu Keng sah tidak akan bertanding untuk mempertahankan Parlimen Miri yang dimenanginya pada penggal lalu.

Sebaliknya, parti itu memilih calon baharu Chiew Choon Man, 31, yang merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak.

Pencalonan Choon Man diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa memperkenalkan barisan calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR Sarawak di sini pada Selasa.

Parti itu akan bertanding di 16 kerusi dengan memperkenalkan 12 muka baharu.

Pengerusi PKR Sarawak, Roland Engan akan merebut kerusi tradisi GPS-PDP di Parlimen Baram manakala timbalannya Abun Sui Anyit akan bertanding di Parlimen Hulu Rajang.

Calon lain ialah Sofian Julaihi (Petra Jaya), Diog Dios (Puncak Borneo), Tay Wei Wei (Sri Aman), Langga Lias (Lubok Antu), Patrick Khamis (Betong), Ibil Jaya (Saratok), Mohd Fauzi Abdullah@Joseph (Kanowit), Abdul Jalil Bujang (Mukah), Umpang Salang (Selangau), Zolhaidah Suboh (Sibuti), Racha Balang (Limbang), Japar Suyut (Lawas) dan Khusyairy Pangkas Abdullah (Kapit).

Teo pertama kali menyertai PRU pada tahun 2008, dengan bertanding di Parlimen Sibuti tetapi kalah kepada calon BN Datuk Ahmad Lai Bujang.

Pada tahun 2013, beliau memperoleh 26,909 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk Sebastian Ting, yang sekadar mengutip 24,917 undi sementara calon STAR, Chong Kon Fatt membawa pulang 306 undi.

Pada 2018, Teo sekali lagi bertarung dengan Sebastian, dan kali ini beliau menang dengan majoriti besar, 13,663 undi.