KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu akan mempertaruhkan calonnya bagi mewakili kerusi parlimen Besut dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, secara keseluruhannya parti itu akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen manakala satu kerusi di Parlimen Hulu Terengganu ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya keputusan meletakkan calon Pas di Parlimen Besut dilakukan atas persetujuan bersama antara antara kepimpinan Pas dan Bersatu.

"Kekuatan bersama di atas persetujuan bersama di antara Pas dengan Bersatu tanpa kita mengambil buat penilaian tentang perbandingan sama ada Pas kuat ataupun Bersatu kuat, tapi atas asas bahawa untuk memperteguhkan parti di peringkat negeri maka perlu kepada Pas bertanding," katanya.

Ketika ditanya kemungkinan penyokong Bersatu akan memboikot calon Pas di Parlimen Besut susulan keputusan itu, Husain yakin bahawa Bersatu tetap terus bersama dengan Pas.

"Setakat ini tidak ada tanda-tanda ke arah boikot memboikot di antara kedua-dua pihak.

"Saya yakin bahawa Bersatu tetap terus bersama dengan kita dan mereka telah memberi komitmen untuk bersama-sama dengan Pas bukan sahaja di peringkat negeri, juga di peringkat Persekutuan," jelasnya lagi.

Sebelum ini, Bersatu menyatakan hasrat bertanding di kerusi yang dimenangi UMNO iaitu Hulu Terengganu dan Besut.

Manakala Pas kekal mempertahankan kemenangannya di enam kerusi yang lain iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.