KUALA LUMPUR : Kes harian COVID-19 perlu berada pada angka yang rendah, jika mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Sembilan, Muhamad Afiq Ab Latif berkata, ini termasuk mengambil kira soal kadar pemberian vaksin kepada seluruh masyarakat.

“Mungkin kes harian catat 200 hingga 300 bagi tempoh sehari maka PRU15 mungkin boleh dipertimbang untuk diadakan.

“Tahap Imunisasi negara juga perlu mencapai tahap 90 hingga 95 peratus... jika tidak sangat merbahaya untuk laksanakan PRU15 dan kita perlu ambil iktibar apa yang berlaku ketika PRN Sabah,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.

Mengulas lanjut, katanya ahli politik juga perlu mengamalkan norma baharu dalam PRU15 khususnya melibatkan kempen berpolitik yang wajar dilaksanakan secara atas talian.

“Perlu ada SOP ketat, contohnya calon berkempen menggunakan platform media sosial dan aktiviti kunjung mengunjung perlu dielakkan demi memastikan tiada berlaku risiko penularan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Muhumad Afiq turut mengingatkan orang ramai agar tidak hanya menuding jari kepada kerajaan berhubung pelaksanaan SOP.

Malah, katanya rakyat juga seharusnya memainkan peranan yang sama.

Sejak kebelakangan ini, wujud pelbagai spekulasi berhubung pelaksanaan PRU15 dalam masa terdekat berikutan senario politik negara ketika ini.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan dalam kalangan orang ramai berhubung pelaksanaannya yang mampu mengundang risiko penularan COVID-19.