SUBANG: Pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) mula berkumpul di sebuah hotel di sini bagi memerhatikan pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mala min.

Antara yang telah tiba, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga calon Parlimen Tambun pada pukul 8.45 malam.

Turut kelihatan, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang juga calon Parlimen Kota Raja dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Pemimpin PH lain yang turut dilihat hadir adalah Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut menyertai, Presiden Parti Ikatan Demokratik (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan calon Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

PRU15 menyaksikan PH meletakkan calon di 220 kerusi Parlimen.

Setakat 4 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 70 peratus daripada lebih 21 juta pengundi yang layak telah keluar mengundi.