KUALA LUMPUR: Sekiranya Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bergabung, Pakatan Harapan (PH) akan berdepan laluan sukar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penganalisis Politik, Prof Ahmad Marthada Mohamad berkata, sekiranya penggabungan itu dapat direalisasikan, peluang untuk PH menang di banyak kerusi akan menjadi tipis disebabkan undi Melayu tidak berpecah.

BACA: Kerjasama Pas-UMNO lebih menguntungkan kedua-dua parti - Penganalisis politik

“Berdasarkan kepada keputusan sebelum ini yang mana Barisan Nasional (BN) kalah... kita dapati undi di kalangan masyarakat Melayu itu berpecah tiga.

“Jadi apabila parti mewakili orang Melayu ini bergabung, sudah tentu gabungan itu akan menjadi kuat, kukuh dan mampu mengatasi mana-mana calon daripada PH.

“Ini kerana kita lihat apabila parti Melayu bergabung, sudah tentu ia akan mempunyai sokongan dan dukungan yang cukup kuat.

“Undi juga akan lebih tertumpu kepada kawasan terutama majoriti yang sangat memerlukan kepada penyatuan bagi menghadapi pilihan raya,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad.

PRU15 | Pas masih yakin UMNO dan Bersatu boleh bekerjasama

Penyatuan ketiga-tiga parti itu masih lagi menjadi buah mulut terutamanya selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan berhubung gabungan itu selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Dalam kenyataan itu, Ahli Parlimen Marang itu berkata Pas berpandangan perlu ada 'keanjalan' dalam rundingan antara ketiga-tiga parti teras Melayu terbabit seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca- PRU15.

Begitupun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberi kata dua kepada Pas iaitu sama ada memilih Bersatu atau UMNO.

Memandangkan tarikh PRU15 dikhabarkan semakin hampir, isu penyatuan ketiga-tiga parti itu pasti akan terus dibincangkan baik di peringkat Pas, UMNO mahupun Bersatu.

PRU15 | Bagaimana Pas merealisasikan penyatuan ummah UMNO-Bersatu?