JERLUN: UMNO Kedah menzahirkan harapan tinggi agar kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) tidak berakhir dan dapat diteruskan termasuk dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz, menegaskan bahawa semua pihak juga perlu mencari jalan untuk memastikan gabungan itu terus utuh bukan sahaja di Kedah malah di negeri-negeri lain di Malaysia.

"Namun saya seperti sediakala, sentiasa berkata UMNO dengan Pas ni janganlah berpecah, saya nak kalau boleh, semua pihak berusaha keras memastikan gabungan asal MN itu menjadi kenyataan.

"Namun saat-saat ini saya melihat bahawa ada sedikit gangguan pihak-pihak tertentu, pucuk pimpinan di atas dan sebagainya, ini amat menyedihkan.

"Tetapi, saya masih memberi harapan, berharap sangat supaya Pas dan UMNO ni jangan berpecah, bukan hanya di Kedah namun di seluruh negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kayuhan Basikal Semarak Merdeka Peringkat Kubang Pasu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pida Tiga, Ayer Hitam, Jerlun pada Selasa.

Bagaimanapun, Othman menyatakan perkara berkaitan kerjasama termasuk keputusan akhir adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kepimpinan tertinggi kedua-dua parti itu.

Namun, atas dasar sayangkan penyatuan Melayu-Islam, beliau menyarankan kepimpinan dapat meneliti dan bertolak ansur bagi mencapai kata sepakat demi agama, bangsa dan negara.

"(Untuk kata putus) kita pulangkan kepada keputusan bijaksana kedua-dua pihak, kepimpinan UMNO, Presiden, Timbalan presiden dan juga pihak Pas (diharapkan) supaya dapat meneliti, dapat bertolak ansur, melupakan sengketa yang lama, kerana kita perlu bergerak ke hadapan untuk memastikan agama, bangsa, negara ini terbela,

"Kita perlu belajar dari apa yang berlaku pada PRU yang lalu dan kita tak mahu lagi (ia berlaku), (di mana) negara kita ini terlepas ke tangan orang lain yang mungkin tidak ada simpati dengan bangsa kita, tidak ada simpati dengan agama kita," tegas Othman.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan Pas tidak pernah sesekali melakukan tindakan yang melukakan hati UMNO di Kedah termasuk memcari pasal atau mengkhianati parti 'rakan' yang bersama-sama membentuk kerajaan negeri itu.

Jelasnya, setiap tindakan juga dilakukan dengan berhemah agar kepimpinan UMNO di peringkat negeri tidak berkecil hati dengan tindakan serta kenyataannya termasuk urusan mengenai lantikan Exco, Penyelaras Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).