IPOH: Ahli politik veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Lee Boon Chye meminta bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua untuk ‘kembali ke pangkal yang betul’ dan menarik diri daripada terus bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Boon Chye yang juga penyandang kerusi Parlimen Gopeng berkata, seseorang pemimpin itu masih boleh berkhidmat kepada rakyat walaupun tidak menyandang gelaran Yang Berhormat (YB).

Mengambil contoh dirinya yang memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi dimenangi tiga penggal itu pada PRU15 kerana mahu memberi laluan kepada calon muda juga daripada PKR, Tan Kar Hing.

“Perjuangan kita masih belum selesai dan kita masih ada ruang untuk teruskan perjuangan. PRU15 ini bukan sebab individu atau siapa yang hendak jadi YB.

“Jadi untuk Saudara Tian Chua, tak jadi YB pun, saya rasa kalau dia masih percaya kepada perjuangan, dia harus tarik diri serta-merta dan memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menang di Parlimen Batu.

“Seruan saya ini bukan sahaja sebagai ahli parti, malah juga sebagai rakan lama beliau sejak lebih 20 tahun,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri di Pejabat PKR Perak, di sini, pada Isnin.

Pada penamaan calon PRU15 Sabtu lepas, media melaporkan Tian Chua bertanding sebagai calon bebas bagi merebut kerusi Parlimen Batu yang turut menyaksikan saingan 10 penjuru termasuk daripada PH yang diwakili P Prabakaran.

Tian Chua merupakan Ahli Parlimen Batu selama tiga penggal sejak 2004 sebelum hilang kelayakan bertanding pada PRU 2018.

Pada PRU15 yang akan diadakan pada 19 November ini, PKR mencalonkan Prabakaran mewakili PH untuk bertanding di Parlimen Batu, sekali gus menjadi antara calon termuda.

Media juga ada melaporkan Tian Chua memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas
Presiden PKR itu kecewa dengan tindakan reformis parti berkenaan bertanding sebagai calon Bebas.

Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, Tian Chua seharusnya tidak hanya memohon maaf kepada Anwar sahaja, sebaliknya, perlu juga melakukan tindakan yang sama kepada semua pengundi di Parlimen Batu dan rakyat yang telah menyokongnya selama ini.

“Selain kepada Anwar, Tian Chua juga seharusnya memohon maaf kepada penyokongnya selama ini yang bersama beliau dalam gerakan reformasi lebih daripada 20 tahun,” jelas Boon Chye lagi.