ALOR SETAR: Bukan semua 222 kerusi Parlimen tetapi hanya kerusi yang diyakini menang akan diletakkan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Demikian tegas Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selepas pihaknya menyedari kekuatan parti itu dan usianya masih muda.

Beliau berkata, ketika ini parti itu masih mengenal pasti kerusi Parlimen yang bakal diletakkan calon untuk bertanding.

"Kita tak nak bertanding semua 222 (kerusi), kita sedar kekuatan kita, keupayaan kita, tenaga kita. Yang penting seperti yang saya nyatakan mahu letak 13 kerusi kalau kosong, tak ada ertinya letak dua atau letak tiga kita boleh menang, Alhamdulillah 100 peratus pencapaian," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Parti Warisan Negeri Kedah di Alor Setar, pada Sabtu.

Sementara itu, ditanya tentang perancangan pembentukan kerjasama bersama gabungan politik baharu yang lain Mohd Shafie berkata, pihaknya kini dalam proses mengukuhkan kedudukan parti.

BACA: Warisan tarik perhatian golongan profesional di Semenanjung - Shafie

Beliau menjelaskan, pembentukan parti itu mengikut acuan sendiri dan tidak perlu mengikut dan berharap kepada parti lain untuk bertapak terutamanya di peringkat nasional.

"Ramai mahu berhubung tetapi baik kita pastikan baiki rumah kita dulu, perlu dimantapkan.

"Saya sudah banyak pengalaman bergabung dengan Barisan Nasional, Pakatan Harapan, dan kita melalui pelbagai kerjasama. Yang penting kepada kita kekuatan parti itu perlu dimantapkan, tiada ertinya kita bergabung tetapi tidak ada kekuatan parti.

"Kita tak mahu menumpang kepada mana-mana parti, seakan-akan kita nak mengemis sana sini," katanya lagi.