Puteri UMNO akan lebih aktif mengadakan pertemuan dengan pengundi dan memberi penerangan untuk menolak fitnah yang disebar pembangkang.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia antara ramuan yang akan dipraktikkan demi menawan kembali hati pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Kita akan temu, tolak fitnah, tawan pengundi dengan hati terbuka. Kita akan bersama mereka mengikut kluster.

"Kita akui ini cabaran besar dengan peningkatan pengundi kali pertama. Mereka ini cukup ramai," katanya semasa ucapan penggulungan dasar Ketua Puteri UMNO di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, tidak timbul isu dakwaan pembangkang bahawa UMNO cuba menakut-nakutkan Melayu sebagai strategi memenangi hati rakyat.

Jelasnya, apa yang dilakukan parti itu selama ini ialah menegakkan fakta bahawa pembangkang rakus dalam perjuangan politik mereka.

Tegasnya, pembangkang juga tidak berminat dan cuma berpura-pura memperjuangkan nasib orang Melayu.

Terdahulu Mas Ermieyati menyatakan mahu pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diperluaskan kepada pelajar yang menuntut di luar negara.

Jelasnya, pembaharuan itu dijangka mampu membantu meringankan kos kehidupan pelajar luar negara yang tinggi dan membebankan.

Katanya, ia juga boleh menjadi badan pinjaman pendidikan alternatif baru pelajar luar Negara yang kini hanya bergantung kepada pinjaman biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).