POLITIK
Puteri UMNO persoal Tengku Zafrul tidak letak jawatan menteri

Nurul Amal mempersoalkan mengapa Tengku Zafrul tidak meletakkan jawatan sebagai Menteri MITI selepas keluar UMNO. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, mempersoalkan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak meletak jawatan sebagai menteri Kabinet.
Ringkasan AI
- Datuk Nurul Amal mempersoalkan mengapa Tengku Zafrul tidak meletakkan jawatan sebagai Menteri MITI selepas keluar UMNO, walaupun telah melepaskan semua jawatan dalam parti.
- Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai melepaskan tanggungjawab tetapi masih mahu mengekalkan keistimewaan, dan mengingatkan PKR bahawa kemasukan Zafrul boleh menguji kesetiaan dalam Kerajaan Perpaduan.
- Nurul Amal menyeru ahli UMNO, khususnya golongan muda, agar terus setia dan memperkukuh parti, sambil menegaskan bahawa parti lebih penting daripada individu.
“Apakah Tengku Zafrul mengambil sikap untuk melepaskan tanggungjawab, namun bukan keistimewaan yang datang bersama tanggungjawab ini?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul yang pernah memegang portfolio Kewangan dan MITI sewaktu era Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan telah menghantar surat peletakan jawatan UMNO kepada pucuk pimpinan parti.
Beliau turut menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, dan akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli parti.
Mengulas lanjut, Nurul Amal turut mengingatkan pimpinan PKR bahawa keinginan Tengku Zafrul untuk menyertai PKR akan menjadi kayu ukur kekukuhan Kerajaan Perpaduan.
“Apakah PKR sanggup menerima ahli dari parti dalam Kerajaan Perpaduan yang akhirnya akan menguji setia kawan antara UMNO dan PKR?
“Saya kira mudaratnya pasti melarat dan tidak akan disukai oleh akar umbi UMNO itu sendiri,” katanya.
Nurul Amal juga sempat berpesan kepada seluruh anggota terutama sayap muda yang masih setia untuk terus lakukan yang terbaik untuk UMNO.
Beliau berkata, UMNO tidak akan mati kerana pemimpin silih berganti dan pemimpin setia akan terus dihormati.
“Yang datang hanya untuk mengenali dan biarlah ia pergi tanpa disesali.
“Tiada individu yang lebih besar dari parti ini. Kehilangan ini tidak akan diratapi, namun akan diinsafi oleh seluruh akar umbi UMNO untuk lebih mengenal yang mana kaca dan mana pula permata,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami