POLITICS
RAPAT AMK 2025 medan untuk calon ketengah idea - Adam Adli

Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim berkata program itu juga meneruskan tradisi dialog, debat dan pertembungan idea yang sememangnya sinonim dengan sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Program RAPAT Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2025 menjadi platform terbaik untuk calon yang bertanding pada pemilihan sayap itu mengetengahkan idea dan tawaran mereka.
Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim berkata program itu juga meneruskan tradisi dialog, debat dan pertembungan idea yang sememangnya sinonim dengan sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
"Sebagai pemimpin, kita harus bukan hanya berani tetapi juga mampu untuk mencerna idea dan memberikan solusi kepada masyarakat," katanya ketika ditemui pada program itu di sini hari ini.
Pada program itu, calon Majlis Pimpinan AMK berpeluang membentangkan tawaran kepada para perwakilan selain menampilkan debat antara dua calon Timbalan Ketua AMK iaitu Muhammad Izuan Ahmad Kassim dan Arshad Hassni.Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yang tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK pada pemilihan kali ini, dalam ucapannya berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
"Saya berterima kasih kepada rakan-rakan (calon) yang menunjukkan teladan dan sikap yang baik supaya kita boleh jadi pemula trend. Saya harap semangat ini akan dibawa keluar selepas pemilihan kerana kita tidak ada banyak masa dan kena turun perkukuh akar umbi," katanya.
Kongres Nasional PKR 2024/2025 akan membuka tirai 8 malam ini dengan perasmian serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita oleh Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh di Berjaya Waterfront Hotel di sini, yang dijangka dihadiri Adam Adli, Ketua Wanita Fadhlina Sidek serta perwakilan kedua-dua sayap.
Kedua-dua sayap akan memulakan kongres masing-masing esok dengan ucapan dasar Adam Adli dan Fadhlina diikuti sesi perbahasan sebelum penggulungan oleh Setiausaha, Naib Ketua, Timbalan Ketua dan Ketua Sayap.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat akan berlangsung esok merangkumi pemilihan MPP, Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, yang bermula dari 8 pagi hingga 5 petang membabitkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal dan dalam talian.
Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan perasmian Kongres Nasional PKR malam esok.
Pada Sabtu, kongres diteruskan dengan sesi perbahasan ucapan dasar Presiden, pengundian Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap dikuti penggulungan oleh kepimpinan baharu sebelum kongres ditangguhkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami