KUALA LUMPUR: Reformasi Parlimen boleh dilakukan dengan mewujudkan jawatankuasa perundingan berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, jawatankuasa ini akan menentukan RUU mana yang berkepentingan awam dan perlu disegerakan.

"Kalau kita lihat Peraturan 15, Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dimana memberi keutamaan kepada kedua-dua dewan untuk mendahulukan urusan yang melibatkan kerajaan.

"Jadi dalam keadaan ini sekiranya ada usul atau cadangan daripada pihak pembangkang, maka sudah pasti jemaah menteri atau Kabinet yang akan menentukan sama ada usul itu dibawa ke Parlimen atau tidak.

"Kalau kita tengok dalam konteks ini, kadang-kadang satu cadangan daripada pembangkang itu sesuatu yang baik yang boleh dibawa ke hadapan dan dibincangkan dalam Parlimen, tetapi disebabkan kuasa eksekutif yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan peraturan sedia ada, maka kemungkinan cadangan itu tidak dibawa oleh pihak eksekutif yang menjadi kerajaaan pada ketika itu," katanya semasa sidang video pada Isnin.

BACA: Transformasi Parlimen: Kerajaan setuju tubuh jawatankuasa bersama - Wan Junaidi

BACA: 
Penguatkuasaan semula Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen lebih demokratik

Dalam pada itu katanya, seseorang wakil rakyat bukan hanya mewakili mereka yang mengundi mereka semasa pilihan raya.

Ujarnya, wakil rakyat mewakili keseluruhan masyarakat yang berada di dalam Parlimen berkenaan selain tidak mengira mereka yang memberi undi kepadanya atau sebaliknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Musa menjelaskan, seseorang Senator juga mewakili negeri dan perlu membawa suara kumpulan masyarakat yang diwakili mereka.

Menjayakan reformasi Parlimen di bawah kerangka 'Keluarga Malaysia'

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Bersama Parlimen dan Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan proses transformasi Parlimen.

Jelasnya, ia termasuk mengkaji semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, mewujudkan Akta Parlimen baharu dan pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.