BATU PAHAT: Rekod kerjasama politik Pas menunjukkan ia akan berakhir dengan ‘perceraian’, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata perkembangan terbaharu berhubung kerjasama Pas dan Bersatu bukan sesuatu yang luar biasa jika dilihat berdasarkan sejarah perjalanan politik parti berkenaan.
Saifuddin Nasution berkata Pas pernah menjalin kerjasama dengan banyak pihak termasuk Semangat 46, PH, UMNO dan Bersatu, namun kesemua kerjasama itu akhirnya tidak berkekalan.
"Siapa saja yang bergabung dengan dia (Pas) berakhir dengan perceraian. Isunya talak satu atau talak dua atau talak tiga, itu saja,” katanya kepada pemberita selepas Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat di sini, hari ini.
Beliau berkata walaupun alasan yang sering diketengahkan Pas adalah penyatuan ummah, konsep itu tidak boleh ditafsirkan mengikut kehendak atau kepentingan pihak tertentu.
Saifuddin Nasution berkata prinsip politik Islam yang sebenar adalah menegakkan keadilan, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran serta menyemai kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, beliau menegaskan kekuatan PH tidak bergantung kepada perpecahan pihak lawan, sebaliknya ia dibina menerusi hubungan berasaskan kepercayaan dan rasa hormat antara parti komponennya.
"Kita tidak jadi kuat kerana lawan berpecah. Kita jadi kuat kerana kita bina kekuatan kita sendiri. Dalam PH, kekuatan itu dibina melalui usaha bersama serta prinsip saling percaya dan saling menghargai," katanya.
Semalam, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua pihak.
-- BERNAMA