Seorang wakil rakyat daripada PKR hari ini tidak dapat membendung kesedihan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila segala luahan yang dibawa untuk pembangunan rakyat di kawasannya tidak didengari kerajaan DAP Pulau Pinang.

Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti) berkata beliau sedih kerana luahan dan persoalannya berhubung pembangunan penduduk kawasan Penanti diabaikan.

"Saya buang masa hampir sejam menunggu jawapan, setiap hari saya tunggu jawapan, tetapi tak jawab, saya buang masa sejam...Seberang Jaya tak jawab, Batu Lanchang tak jawab.

"Kawasan saya kawasan kampung yang terpinggir, saya bawa suara orang kampung...yang mendengar suara saya Padang Kota saja," luahnya sambil menangis.

Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin daripada PKR adalah exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan manakala Adun Batu Lancang Danny Law Heng Kiang ialah exco Pembangunan Pelancongan dan Adun Padang Kota Chow Kon Yeow daripada DAP ialah exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir.

Dr Norlela berkata apa yang lebih menyedihkan ialah apakah yang perlu diberitahu kepada orang kampung setiap kali beliau pulang bertemu rakyat di kawasannya.

"Apa yang saya nak cakap dengan orang kampung bila balik, tanya pasal sungai jeti pun tak jawab," katanya.

Rintihan Norlela itu turut mendapat simpati daripada wakil rakyat Barisan Nasional, Roslan Saidin (BN-Pinang Tunggal) yang menyatakan ia adalah reality yang kini dilalui oleh rakyat di bawah pemerintahan kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang.

Tindakan Dr Norlela itu menyebabkan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Abdul Malik Kassim bangun dan dengan nada tegas menyatakan tuduhan Dr Norlela tidak adil kerana Ketua Menteri Lim Guan Eng ada menyebut terdapat peruntukan disalur kepada Permatang Pauh.

Dewan Undangan Negeri Penanti adalah di bawah Parlimen Permatang Pauh.

Mendengar jawapan Abdul Malik, Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mohd Rashid Hasnon meminta Abdul Malik yang juga Adun Batu Maung itu bertenang.

Mohd Rashid berkata masalah yang dibangkitkan Dr Norlela perlu dibincang secara mendalam.