JOHOR BAHRU: Rombakan dan penstukturan semula barisan Exco Kerajaan Negeri Johor menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh digugurkan dari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor (Exco) bagi penstrukturan semula portfolio terbabit bagi tahun 2024 hingga 2027.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata posisi Norlizah kini digalas oleh ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin.

Katanya, pelantikan dan penstukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor diperkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

"Patik juga menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan dan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor serta berangkat ke Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang baru, hari ini.

"Tahniah kepada Aznan yang telah mengangkat sumpah memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di hadapan Tunku Ismail, sebentar tadi. Semoga apa yang dititahkan kepada beliau (Aznan) dapat dilaksana dan digalas dengan baik.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada mantan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah atas segala khidmat dan bakti yang telah dicurahkan kepada negeri dan Bangsa Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Aznan mengangkat sumpah pada Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor hari ini. - Foto RPO
 

Menurut Onn Hafiz, selain pengguguran Norlizah, portfolio yang dipegangnya ditambah dengan portfolio Pelancongan.

Ini menjadikan tugasan portfolio Menteri Besar merangkumi Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan negeri Johor.

"Saya percaya dan yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan Exco ini mampu memacu negeri Johor ke arah yang lebih baik dan semuanya berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.

"Saya sedar dan insaf, sepanjang tempoh hampir dua tahun perkhidmatan ini, masih banyak yang perlu dilakukan.

"Insya-Allah, saya bersama barisan Exco ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor.

"Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita taufik dan hidayah, kekuatan dan pedoman dalam menempuhi apa jua cabaran yang mendatang," katanya.

Selain itu, empat Exco kekal menjawat portfolio sebelum ini, manakala lima lagi berubah portfolio.

Ia membabitkan Exco kekal iaitu ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor), ADUN Bukit Permai,  Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor), ADUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor) dan ADUN Serom, Khairin- Nisa Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Negeri Johor).

Manakala lima Exco berubah portfolio iaitu ADUN Tenggaroh, K. Raven Kumar (Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor), ADUN Larkin, Mohd Hairi Md Shah (Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor) dan ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan & Alam Sekitar Negeri Johor).

Turut berubah ADUN Paloh, Lee Ting Han (Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor) dan ADUN Bukit Pasir, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur & Komunikasi Negeri Johor).

Difahamkan Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di hadapan Tunku Ismail pagi tadi.