Skip to main content

Politik

Rumah Bangsa: ‘Ramai jumpa saya nyata hasrat sertai semula UMNO’ - Ahmad Zahid

Zahid Rumah Bangsa
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas merasmikan pasar raya Rissmart Grocer, Pusat Bandar Kwasa Damansara, Shah Alam pada Ahad.

SHAH ALAM: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau telah bertemu dengan ramai bekas ahli parti yang menyatakan hasrat untuk kembali menyertai perjuangan UMNO, selain menjangkakan lebih ramai lagi tokoh akan menyusul dalam masa terdekat.

Beliau menyifatkan trend kepulangan ini sebagai satu perkembangan yang cukup positif memandangkan setakat ini terdapat seramai 6,252 individu yang telah memohon untuk menyertai semula parti selain daripada permohonan keahlian baharu.

Advertisement

Menurut Ahmad Zahid, beliau secara peribadi telah bertemu dengan ramai pihak secara tidak rasmi namun memilih untuk tidak mendedahkan identiti mereka buat masa ini bagi menghormati privasi masing-masing.

“Ramai yang sudah datang berjumpa saya, dan saya menjangkakan lebih ramai lagi nama-nama besar akan menyertai semula UMNO.

“Bagaimanapun, demi menjaga air muka semua pihak, saya tidak perlu sebutkan nama-nama mereka di sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pasar raya Rissmart Grocer, Pusat Bandar Kwasa Damansara, di sini pada Ahad.

Beliau menjelaskan bahawa UMNO kini melaksanakan langkah 'game changer' dengan mempermudahkan segala urusan permohonan kembali ke dalam parti tanpa perlu melalui birokrasi yang panjang seperti sebelum ini. 

Jawatankuasa 'Rumah Bangsa' yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kini telah diberikan kuasa penuh untuk menguruskan permohonan tersebut segera tanpa perlu merujuk kepada jawatankuasa tertinggi parti.

Ahmad Zahid turut menekankan bahawa sistem konvensional yang memerlukan pemohon melalui peringkat cawangan, bahagian, dan negeri sebelum sampai ke ibu pejabat telah dimansuhkan kerana proses tersebut tidak menarik minat golongan muda.

Sebagai galakan, UMNO kini membuka permohonan secara atas talian sepenuhnya di mana kad keahlian digital akan dikeluarkan serta-merta bagi memudahkan urusan ahli-ahli baharu dan mereka yang ingin kembali.

Mengulas mengenai kehadiran semula nama-nama besar dalam politik tanah air, beliau menegaskan bahawa UMNO sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan penyertaan semua pihak tanpa mengenakan sebarang syarat.

“Kita alu-alukan semua pihak tanpa syarat untuk menyertai UMNO melalui Rumah Bangsa.

“Mereka hanya perlu menulis surat menyatakan hasrat kemasukan dan kita akan terus memprosesnya dengan mudah," katanya.

Must Watch Video