Sabah amal prinsip kerjasama G2G dengan Kerajaan Pusat

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengulangi pendirian Sabah tidak menjalinkan kerjasama politik dengan Kerajaan Pusat. - Foto file Bernama
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengulangi pendirian Sabah tidak menjalinkan kerjasama politik dengan Kerajaan Pusat.
Sebaliknya, tegas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu, kerjasama yang dinyatakan beliau pada sidang media semalam adalah melibatkan kerjasama kerajaan dengan kerajaan.
Katanya, meskipun kepentingan politik berbeza dengan kerajaan baharu di peringkat persekutuan, ia sama sekali tidak menghalang hubungan di antara jabatan dan kementerian sedia ada.
"Kita lihat bahawa dari segi dengan pendekatan apa  yang  kita  putuskan kerajaan  pimpinan kita di sini kita katakan akan menyokong Tun Dr Mahathir (Mohamad), manakala  pendirian kita kerjasama di antara jabatan-jabatan, kementerian-kementerian contohnya Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran negeri Sabah.
"Walaupun kepentingan wujud perbezaan politik, kita harus fahami. Jangan ada pihak yang membuat tafsiran bahawa kita bekerjasama dalam konteks politik," katanya.
	
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Penganjur World Islamic Economic Forum (WIEF) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) Kota  Kinabalu, pada Jumaat.
Mohd Shafie pada Khamis telah menyatakan pendirian beliau selaku Ketua Menteri dan kerajaan negeri sebulat suara menyokong Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun Kerajaan Sabah akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam konteks 'Goverment to Goverment'.
Dalam pada itu, konsisten dengan pendirian tersebut, beliau  berkata, pihaknya tetap terbuka bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus berkhidmat kepada rakyat  Sabah.
"Kita tahu juga, terkadang di sini itu ancaman contohnya keselamatan, saya selaku Pengerusi Keselamatan Negeri dan kita perlu ada hubungan dengan pihak keselamatan seperti polis, tentera," katanya.
Pada Khamis, seluruh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari blok Kerajaan Negeri Sabah membabitkan Parti Warisan Sabah (Warisan), UPKO dan Pakatan Harapan (PH) telah menyatakan sokongan kepada Mohd Shafie atas pendirian berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

