Selepas Parti Cinta Sabah (PCS) menolak pelawaan Barisan Nasional (BN) untuk berunding kerusi, sebuah lagi parti tempatan, Parti Liberal Demokratik (LDP) mengambil pendirian yang sama.

Menurut Setiausaha Agung LDP, Datuk Yong Wui Chung, laporan yang mengatakan BN sedang mengadakan rundingan dengan beberapa 'rakan-rakan' parti lain mengaitkan nama LDP adalah tidak berasas.

Sebaliknya, jelas Yong, LDP tidak pernah dihubungi dan parti itu juga berpendirian untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah secara bersendirian.

"Laporan berita yang mengatakan BN akan mengadakan rundingan kerusi bersama parti rakan termasuk LDP adalah tidak benar.

"Kami tidak pernah bergabung dengan mana-mana parti lain seperti yang disebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya, di Kota Kinabalu, hari ini.

Petang tadi, Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan medianya berkata, pihaknya menafikan laporan mengatakan partinya terlibat dengan rundingan bersama BN dan beberapa parti komponen lain di Sabah.

Bahkan, Anifah secara tegas mendedahkan parti tersebut akan bertanding secara bersendirian dan bakal berentap dalam jumlah kerusi yang mampu membentuk kerajaan negeri.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, akan melakukan rundingan kerusi PRN dengan beberapa parti tempatan di Sabah termasuk bersama PCS dan LDP.

Jelas Ahmad Zahid, antara parti lain yang terlibat dalam rundingan itu adalah Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).