Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Putatan yakin mampu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas sekiranya diberi peluang bertanding di kerusi itu.

Ketua Bersatu Bahagian Putatan, Datuk Seri Arsit Sedi berkata pihaknya akan mencalonkan anak tempatan bagi bertanding di kerusi itu yang sebelum ini ditandingi calon daripada UMNO.

"Baru-baru in, kita telah bermesyuarat di peringkat negeri dan kita merayu untuk kerusi ini diberi kepada Bersatu walaupun dahulunya ia adalah kerusi tradisi UMNO.

“Kita ada alasan yang kukuh untuk DUN Petagas ini diberi kepada Bersatu antaranya adalah kita mahu menampilkan calon orang tempatan, orang yang lahir di Petagas ini menjadi wakil rakyat di DUN ini,

"Dengan kredibiliti calon tempatan dan muda yang kita ada, saya yakin kita akan memperoleh lebih dari 5,000 undi," katanya ketika ditemui media semasa pengumuman Projek Pembangunan Campuran Mega Dumpil Bay di Putatan pada Selasa.

Menurut Arsit, dia telah mengarahkan jentera parti bergerak bagi mengenal pasti pengundi dan berkomunikasi dengan pengundi.

Ditanya sekiranya kerusi tersebut akan diberi kepada parti lain, Arsit menegaskan hanya calon daripada Bersatu yang dapat meyakinkan pengundi di Petagas.

"Kita berkeyakinan jika dibandingkan dengan parti-parti lain, hanya Bersatu yang boleh meyakinkan dan Bersatu sahaja parti yang diterima di DUN Petagas ini," jelasnya.