PONTIAN: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, dua Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran dan Arau dilucutkan keahlian.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO melucutkan keahlian terhadap Annuar dan Datin Seri Fatimah Kassim (bekas Ketua Wanita UMNO Maran), dan isteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Datin Seri Shamsiah Yassin (bekas Ketua Wanita UMNO Arau) mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO selepas mereka melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO serta perkara berkaitan tataetika ahli.

Katanya, surat pemecatan itu dikeluarkan hari ini.

BACA: 'Saya tidak dengar apa-apa berita' - Annuar jawab dakwaan dipecat UMNO 

BACA: Hanya mampu lihat 'rumah pusaka terbakar' - Annuar Musa 

BACA: Mesyuarat MKT: UMNO pecat seorang ketua bahagian, dua ketua wanita bahagian 

Bulan lalu, Shamsiah dan Fatimah digantung sementara seluruh jawatannya selepas didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Jelas Ahmad, UMNO juga sedang meneliti seluruh senarai ahlinya untuk tindakan selanjutnya khususnya ahli yang menjadi calon Bebas, pencadang atau penyokong selain daripada UMNO atau Barisan Nasional (BN) ketika PRU15.

"Minta UMNO bahagian hantar nama mereka yang menjadi calon selain daripada calon BN dan UMNO, termasuk calon Bebas.

"Kita juga meminta nama ahli UMNO yg menjadi pencadang dan penyokong bukan kepada ahli UMNO dan BN.

"Ia adalah satu pelanggaran etika dan tentunya kita akan mengambil tindakan terhadap senarai itu kemudian," kata Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Program Santai di Warung Awie Ayer Baloi, di sini.