KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan beliau 'berhenti' daripada Pas dan bukannya 'keluar' daripada parti yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu meminta ahli-ahli Pas untuk merujuk kepada perlembagaan parti itu mengenai perbezaan 'berhenti' dan 'keluar'.

Dalam masa yang sama, beliau turut akan mendedahkan secara terperinci mengapa keputusan diambil untuk berhenti daripada Pas, termasuk keputusan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus, dalam masa terdekat.

"Saya adalah rakan dan sahabat seperjuangan saudara dalam memperjuangkan Islam. Saya akan terus memperjuangkan cita-cita Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan Pas di mana pun saya berada.

"Saya akan terus memperjuangkan cita-cita menyatukan umat Islam khususnya antara Pas dan UMNO, sebagaimana keputusan Majlis Syura Ulamak 2015, dan sebagaimana roh perjanjian Muafakat Nasional yang ditandatangani pada 14 September 2019, dengan linangan air mata ahli-ahli Pas dan UMNO, dan juga sebagaimana semangat keputusan muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 30 Disember 2021.

"Ini 13 hari sebelum saya digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang baharu dilantik, dan seterusnya meletakkan jawatan sebagai Setiausaha dan ahli Majlis Syura Ulamak, sebulan selepas itu pada 21 Februari 2022, bagi menjaga keharmonian perlembagaan Pas.

"Saya tidak pernah mengkritik Pas pada batang tubuh Pas dan idea perjuangannya, hanya menegur tindak-tanduk beberapa kerat pimpinan secara umum yang mempromosi pertembungan di sebalik suara mahukan penyatuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini,

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, beliau mesra UMNO dan Pas kerana itulah semangat cita-cita penyatuan Pas dan UMNO dan akan kekal mesra kedua-dua pihak.

"Saya dilihat sepentas dengan UMNO dalam banyak program dan saya bersedia sepentas dengan Pas dalam apa sahaja program, cuma barangkali sentimen saya 'berhenti' Pas menjadi hambatan sementara.

"Dalam masa yang sama, saya sentiasa bersama dalam program kerajaan negeri Terengganu apabila dijemput kerana saya bukannya pembangkang kepada kerajaan negeri," katanya.

Tambahnya, peruntukan Kerajaan Persekutuan kepadanya sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus diagihkan kepada rakyat semua peringkat, baik dari Pas mahu pun UMNO.

"Tidak pernah saya menolak permohonan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau rakyat.

"Dan saya sentiasa mengalu-alukan permohonan kerana saya adalah ahli parlimen kepada semua rakyat.

"Di belakang tabir, saya turunkan peruntukan saya kepada ahli-ahli Pas berprogram walaupun nama saya dirahsiakan sebagai penyumbang kerana saya sendiri pun tidak minta untuk disebut," ujar bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas itu.

Jelas Mohd Khairuddin lagi, beliau berlapang dada dan tidak pernah membenci atau marah kepada ahli Pas yang mengkritiknya dalam komen-komen media sosial.

"Saya kekal berukhwah dan bersaudara dengan semua pimpinan dan ahli Pas dan itulah yang diperjuangkan bersama dan mereka menyambutnya atas semangat persaudaraan dan perpaduan Islam.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pimpinan dan ahli yang kekal berukhuwwah dengan penuh kasih sayang.

"Saya sangat yakin bahawa suara penyatuan antara Pas dan UMNO adalah suara hati nurani 4.2 juta ahli Pas dan UMNO di bawah.

"Ia adalah kekuatan buat umat Islam Malaysia dalam politik, cuma kita perlu sentiasa berusaha meredakan ketegangan dan pertelingkahan yang terlihat di media kerana Itulah perjuangan," ujarnya.