KAPIT:Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Ahad berkata perjuangan politiknya adalah bagi membantu rakyat dan beliau ikhlas melakukan perkara itu.

Abang Johari berkata menurut ajaran agama Islam, dengan membantu rakyat, beliau akan mendapat 'pahala' yang bakal menolongnya selepas meninggal dunia.

Beliau berjaya mengharungi sepak-terajang dunia politik selama 40 tahun disebabkan sokongan rakyat meskipun pernah menolak untuk terus berkecimpung dalam politik.

"Apabila Tun Rahman meminta saya mengambil alih (kerusi Dewan Undangan Negeri Satok) daripada (Tan Sri) Abang Abu Bakar Abang Mustapha, saya telah menolak.

"Bagaimanapun, beliau menghubungi ibu saya yang kemudian meminta saya agar tidak melawan cakap orang tua-tua. Jadi saya patuh, saya tidak boleh berkata tidak kepada ibu saya," katanya semasa majlis makan malam bersama komuniti di sini.

Abang Johari berkata beliau mempunyai rancangan yang besar untuk Sarawak dan yakin mampu merealisasikannya kerana negeri itu dijangka berkembang dari segi kewangan pada tahun-tahun akan datang.

"Akan terdapat lebih banyak (pembangunan) pada masa akan datang. Bagaimanapun, saya tidak boleh melakukannya jika saya tidak mempunyai kuasa," katanya sambil menambah rakyat perlu terus memberikan mandat kepada Gabungan Parti Sarawak untuk mentadbir Sarawak.

Beliau juga berkata Agensi Pembangunan Ulu Rajang, yang bertanggungjawab bagi pembangunan di kawasan Ulu Rajang dari Kanowit ke Kapit, akan menerima peruntukan sebanyak RM1.5 bilion lagi selepas pilihan raya negeri akan datang.

Peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk membina jalan raya di kawasan Empangan Nanga Mujong-Baleh sepanjang 73 kilometer, jalan raya di Nanga Serau-Sungai Kain dan jalan raya di Tunoh dari Nanga Mujong ke Nanga Tiau.

Katanya apa yang lebih penting ialah Sarawak memiliki pemimpin berwawasan yang boleh bekerjasama dan keadaan politik yang stabil bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dilaksanakan.

-- BERNAMA