Ahli veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menafikan terlibat dalam mana-mana gerakan termasuk gerakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ramai yang melenting bila saya tandatangani Deklarasi Kelantan dan menuduh saya berpaling tadah. Walhal, saya tidak pernah terlibat dalam mana-mana gerakan, bagaimana pula saya dituduh berpaling tadah?" katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Katanya, tindakan beliau menandatangani deklarasi tersebut juga tidak mengubah pendiriannya tentang urus tadbir yang baik dan juga tidak memberi implikasi undang-undang.

Menurut Tengku Razaleigh, selain sebagai ahli UMNO dan menjadi ketua bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun, ia adalah menjadi hak beliau untuk mendatangani dokumen tersebut.


"Tidakkah saya mempunyai hak? Saya pernah berseloroh, apabila saya menandatangani buku tersebut, ia seperti buku kedatangan. Jadi saya pun tandatangan meskipun (saya tahu) ia Deklarasi Kelantan," jelasnya.

Ditanya sama ada beliau ingin menandatangani Deklarasi Rakyat, katanya beliau tidak akan menandatanganinya kerana beliau bukan sebahagian dari gerakan tersebut dan beliau merupakan seorang ahli UMNO.

"Saya tidak akan tandatangan (Deklarasi Rakyat), kerana saya bukan sebahagian darinya. Saya ahli UMNO," tegasnya.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh juga menafikan bertanggungjawab mengedarkan akuan sumpah yang menyokong beliau untuk menjadi perdana menteri.

Katanya beliau tidak tahu menahu tentang dokumen tersebut dan hanya menyedarinya selepas melihatnya di laman media sosial.

Semalam, Tengku Razaleigh berkata, beliau sentiasa konsisten dalam pendiriannya mengenai tatacara pemerintahan negara serta perlunya perubahan.

Katanya, perkara itu merupakan intipati perjuangan beliau di peringkat kebangsaan serta dalam UMNO sejak tahun 1987.

Beliau pada minggu lalu, telah menandatangani Deklarasi Kelantan, dan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa memuat naik gambar yang menunjukkan Ahli Parlimen Gua Musang itu bersama wakil-wakil Barisan Nasional sedang menandatangani sebuah dokumen.