KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) kini secara rasmi mempunyai sayap baharu yang dikenali sebagai Puteri BN, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid, BN meluluskan penubuhan Puteri BN yang diketuai olehj Datuk Zahid Zarik Khan yang juga Ketua Puteri UMNO.

Sehubungan itu, kata Ahmad Zahid, keputusan tersebut akan diabsahkan menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada bulan depan.

"Mereka mahukan Puteri BN diwujudkan secara rasmi, saya ingin menyatakan bahawa Puteri BN telah diluluskan dan kita akan absahkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang akan diadakan bulan Ogos ini," kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Puteri BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WCTKL), di sini, pada Ahad.

Hadir sama dalam sidang media itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Ketua Puteri BN, Datuk Zahida Zarik Khan dan kepimpinan tertinggi Friends of BN.

Tambah Ahmad Zahid, kesiapsiagaan di peringkat sayap baharu itu dilihat lebih bersedia untuk berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Kita lihat kesiapsiagaan jentera Puteri BN ditulang belakangi oleh Puteri UMNO melebihi kesiapsiagaan mana-mana pilihan raya umum lalu.

"Tambahan pula keterlibatan jentera puteri parti komponen Friends of BN merupakan satu petanda bahawa jentera BN lebih serius dalam menghadapi PRU15.

"Perkara selanjutnya permintaan puteri besama-sama sayap pemuda dan wanita mahukan muka-muka baharu di kalangan mereka diketengahkan sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang," kata Ahmad Zahid lagi.

Terdahulu, Zahida dalam ucapannya memohon agar Dewan Tertinggi BN segera mewujudkan secara rasmi sayap Puteri BN.

Jelasnya, sayap baharu itu akan melibatkan semua pemimpin wanita muda komponen BN berbilang kaum dalam berdepan PRU15.

"Ketika pilihan raya diadakan, satu pemandangan yang biasa apabila kita melihat wanita wanita muda mengendalikan sistem maklumat di barisan depan pondok-pondok petugas jentera parti.

"Kebanyakannya ialah Puteri UMNO dan belum boleh dipanggil Puteri Barisan Nasional. Sebab itu dengan rendah diri, di depan para hadirin sekalian saya memohon agar Pengerusi mengajukan kepada Dewan Tertinggi BN untuk segera mewujudkan secara rasminya Sayap Puteri Barisan Nasional.

"Kita mahu dalam PRU akan datang, di barisan depan wanita muda itu adalah Puteri Barisan Nasional. Kita mahu wajah-wajah itu adalah wajah wanita muda berbilang kaum yang mewakili Puteri Barisan Nasional," jelas Zahida.