UMNO perlu menyegerakan transisi baharu parti dan menampilkan wajah segar untuk menjadi taruhan pengundi-pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak, kata Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn.

Tegasnya, proses itu boleh berlaku di bawah kepimpinan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

"UMNO adalah sebuah parti yang baru sahaja tewas buat pertama kalinya dalam sejarah. Ini memberi ruang untuk ahli-ahli menilai kembali pendekatan, cara mengemudi dan yang paling penting memenuhi kehendak serta cabaran masa hadapan.

"UMNO harus berupaya untuk membincangkan semua perkara termasuk kepada usaha memerangi rasuah selain daripada perjuangan lazim parti. Imej UMNO harus dipulihkan untuk meyakinkan masyarakat di luar sana bagi memilih Barisan Nasional (BN) menjelang PRU akan datang.

"Perlu diingatkan bahawa menjelang PRU yang akan datang, Malaysia akan mempunyai tujuh juta pengundi muda berumur 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik. Persediaan untuk menghadapi mereka harus dengan imej yang bersih serta pemimpin-pemimpin yang boleh memimpin nilai serta hasrat mereka," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.

Jelasnya, seperti parti-parti lain yang sedang melalui proses demokrasi, UMNO juga mempunyai peluang untuk melakukannya pada pemilihan yang dijangka pada tahun 2021.

BACA: Who will be greatly fit to lead UMNO in the near future?

BACA:
Bahtera UMNO tidak akan dibiar tersasar, jangan ditebuk dari dalam - Zahid

Terdahulu, Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat menyampaikan sumbangan 'Back2School' kepada pelajar-pelajar Sekolah Agama Kampung Sepinang, Segamat.

Program itu juga melibatkan Sekolah Agama Kampung Awat dan diadakan di luar premis sekolah kerana tidak mahu menyusahkan pihak pentadbiran.

Kata Bastien, pelajar-pelajar berkenaan perlu disuntik dengan semangat mencari ilmu dan program itu diteruskan kali ini selepas dilarang memasuki sekolah pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Bastien turut menafikan tanggapan umum yang menyatakan bahawa wujud kem-kem di dalam UMNO.

"Apa yg berlaku di dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu persoalan peralihan kuasa menyebabkan seolah-olah wujud kem di dalam UMNO. Sebagai sebuah parti pembangkang terbesar sudah tentu akan menjadi tumpuan untuk mendapat sokongan.

"Pas sudah menyatakan pendirian mereka secara en-bloc menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jadi yang memulakannya mestilah dari pihak Perdana Menteri atau Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana peralihan kuasa ini melibatkan mereka berdua.

"Ahli-ahli Parlimen harus mengambil tahu dan menyatakan pendirian mereka kelak. Ia menjadi sebahagian daripada tanggungjawab Ahli-ahli Parlimen sekiranya keadaan memerlukan mereka untuk membuat keputusan," ujarnya.

Tambahnya, rakyat kini berada di persimpangan dilema selepas menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada 2018.

"Kini muncul pula cerita peralihan kuasa di dalam PH. Sebahagian daripada pengundi mengatakan bahawa mereka memilih PH kerana keyakinan kepada Dr Mahathir. Tetapi di dalam PH timbul pula penjanjian untuk peralihan kuasa kepada Anwar.

"Bagaimana pula perasaan pengundi yang menyatakan mereka mengundi PH kerana PKR (Anwar) dan DAP? Banyak kerosakan sedang berlaku akibat daripada ketidaktentuan ini.

"Keyakinan pelabur untuk melabur kepada Malaysia juga semakin berkurangan. Pelabur sedia ada juga berasa bimbang dan pasaran saham menjadi tercorot sedangkan pasaran saham negara lagi mencatat kenaikan. Ekonomi negara semakin terumbang-ambing," tegasnya.

Dalam isu berlainan Bastien menjelaskan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis akan memberi peluang kepada rakyat untuk terus mengingatkan Kerajaan agar segera menunaikan janji pilihanraya serta tidak menjual aset-aset yang sebenarnya menjadi hak rakyat.

"Semoga pengundi di Kimanis mengambil kesempatan ini untuk menambah satu lagi suara pembangkang ke dalam Dewan Rakyat untuk memperjuangkan hak mereka," katanya.

PRK Kimanis pada 18 Januari ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PH- Warisan dan BN.

Dua calon terbabit ialah calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48 tahun dan Datuk Karim Bujang dari Warisan, 66 tahun.